SOALAN 1 SEIRING DENGAN MASYARAKAT ANTARABANGSA MALAYSIA TURUT
SOALAN 1: SEIRING DENGAN MASYARAKAT ANTARABANGSA, MALAYSIA TURUT MENGAMBIL PELBAGAI MEKANISME DALAM MELINDUNGI ALAM SEKITAR DARIPADA KEWUJUDAN UNSUR KARBON BERLEBIHAN. BINCANGKAN.
PENGENALAN Isu kewujudan unsur karbon berlebihan ini bukan sekadar isu cuaca, tetapi juga melibatkan isu ekonomi, politik dan sosial. Seiring dengan tindakan masyarakat antarabangsa, Malaysia juga mengambil langkah tertentu bagi melindungi alam sekitar daripada kewujudan unsur karbon berlebihan.
A) MEKANISME ANTARABANGSA Isi 1: Menerusi Protokol Kyoto dan Montreal Langkah awal masyarakat antarabangsa untuk menangani perubahan suhu bumi dirangka menerusi Protokol Kyoto 1988. Protokol Kyoto ini dirangka untuk menetapkan kadar penurunan gas rumah hijau sekitar 12% menjelang tahun 2009. Protokol ini diteguhkan dengan mekanisme Protokol Montreal yang mengawal pelepasan gas kloroflorokarbon (CFC) dan bahan kimia yang lain. Kedua-dua protokol ini membentuk mekanisme kawalan melalui insentif kewangan dan insentif teknologi mesra alam.
Isi 2: Persidangan Inisiatif Global Selain itu, negara antarabangsa juga mengambil langkah dengan mengadakan persidangan inisiatif global dalam menangani isu unsur karbon berlebihan. Persidangan ini merupakan persidangan yang mengumpulkan negara dunia dalam menangani kesan pemanasan global. Kesepakatan negara yang terlibat untuk melindungi alam sekitar masing-masing dengan penekanan kepada pengaplikasian teknologi hijau. Tabung hijau dengan dana sebanyak AS$1 bilion dilancarkan untuk membangunkan teknologi tenaga lestari. Tumpuan tabung adalah untuk mencari langkah untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, mengurangkan impak pencemaran dan mengurangkan peningkatan suhu bumi.
Isi 3: Inisiatif Pengeluar Kereta Antarabangsa Di samping itu, pihak antarabangsa juga mengambil mekanisme dengan memberikan inisiatif kepada pengeluar kereta antarabangsa. Hal ini demikian kerana kenderaan dikatakan antara penyumbang besar kepada pelepasan gas karbon. Gas ini dikatakan sebagai “gangguan awam” yang banyak dilepaskan oleh kenderaan persendirian, iaitu kereta. Pengeluar kereta mengeluarkan kenyataan secara kolektif untuk memfokuskan pengeluaran model baru kenderaan kepada yang tidak menghasilkan gas rumah hijau dan mengeluarkan enjin yang lebih efisien dalam penggunaan bahan api.
B) MEKANISME MALAYSIA Isi 4: Mewartakan Hutan Simpan Malaysia turut mengambil mekanisme bagi menangani isu kewujudan unsur karbon berlebihan. Antara mekanisme yang dilaksanakan oleh Malaysia adalah dengan mewartakan hutan simpan. Hutan merupakan agen yang mengimbangi gas dengan membekalkan oksigen dan menyerap unsur karbon dioksida. Penyerapan karbon akan mengurangkan lebihan unsur ini sekali gus mengurangkan kuantiti gas pembentuk rumah hijau. Dengan mengekalkan kawasan hutan, agen penyerap karbon akan terpelihara. Kawasan hutan haruslah dikekalkan dalam usaha untuk mengekalkan suhu bumi agar sentiasa stabil.
Isi 5: Mempromosikan Teknologi Hijau Seterusnya, Malaysia juga mula mempromosikan teknologi hijau sebagai satu cara hidup dan juga pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi baharu. Malaysia juga bersedia menjadi hub rantaian teknologi hijau memandangkan permintaan global bagi produk lestari semakin meningkat. Hal ini dapat dibuktikan apabila industri teknologi hijau negara telah meningkat sebanyak enam peratus pada tahun 2010 daripada RM 67 bilion tahun sebelumnya. Dengan peningkatan penggunaan teknologi hijau ini, Malaysia bersama pihak antarabangsa berusaha mengurangkan pelepasan karbon sehingga 40% pada tahun 2012 sebagai kepatuhan kepada Sidang Kemuncak Copenhagen.
Isi 6: Menghasilkan Biodisel Akhir sekali, Malaysia turut mengambil mekanisme dalam penghasilan biodisel sebagai sumber tenaga. Penghasilan biodisel sebagai sumber tenaga amat penting bagi menyahut seruan mengurangkan pelepasan karbon. Sebagai contoh, penghasilan biodisel daripada kelapa sawit lebih efisien berbanding dengan penggunaan sumber tenaga petrol. Penggunaan sumber tenaga yang boleh diperbaharui ini juga mesra alam kerana kandungan karbon yang dilepaskan lebih kecil berbanding pembakaran menggunakan tenaga fuel.
KESIMPULAN Kesimpulannya, isu kewujudan unsur karbon berlebihan yang boleh menjejaskan kelestarian alam sekitar haruslah ditangani dengan segera. Oleh itu, tanpa kerjasama masyarakat antarabangsa, isu ini gagal ditangani sekiranya hanya dengan tindakan beberapa buah negara.
- Slides: 9